Monday, February 22, 2010

6 ditahan, sindiket pengedaran dadah tumpas

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya enam rakyat tempatan termasuk dua beradik dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Sentul Utama, Jalan Dato Senu di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 10.15 malam itu, sebanyak lapan peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat dua gram, dua peket ketamin (76 gram), 20 peket heroin (25 gram) dan 56 ketulan disyaki ganja (30.7 kilogram) berjaya dirampas.

Siasatan polis mendapati ganja tersebut bernilai RM92,229 mengikut harga pasaran manakala dadah-dadah yang lain masih dalam siasatan.

Turut dirampas, wang tunai dipercayai hasil jualan dadah sebanyak RM30,920 dan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 18 dan 34 tahun.

Katanya, suspek-suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

"Kejayaan itu hasil penahanan seorang suspek di kawasan kondominium sama pada 11 Februari lalu.

"Susulan itu, kita menyerbu kondominium terbabit dan merampas dadah-dadah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua dadah itu ditemui disimpan dalam sebuah beg pakaian di sebuah bilik di kondominium berkenaan.

Menurutnya, dua daripada lelaki ditahan adalah adik beradik yang juga tunang kepada seorang suspek wanita.

"Suspek yang ditahan ada yang tidak mempunyai pekerjaan, bekerja sebagai jurujual kasut, pekerja kedai menjual ayam, tukang paip dan promoter.

"Ujian air kencing mendapati empat daripada suspek positif mengambil dadah. Dua daripada mereka dikesan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan dikehendaki oleh polis," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah yang dirampas adalah untuk pasaran di Lembah Klang dan polis masih menyiasat sumber bekalan dadah itu.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan berakhir Rabu ini serta kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tuesday, February 2, 2010

Skim Lencana Anti Dadah

Apakah itu SLAD?

Skim Lencana Anti Dadah(SLAD) adalah satu usaha terancang untuk melibatkan ahli-ahli persatuan berpakaian seragam sekolah menengah dalam aktiviti pendidikan pencegahan dadah di sekolah dan akhirnya di masyarakat luar.

Bagaimana SLAD ini dilaksanakan ?

Aktiviti SLAD ini adalah sebahagian daripada aktiviti berpersatuan berpakaian seragam sekolah yang disertainya.Di samping menjalankan akiviti persatuan yang telah ditetapkan, pemimpin/penasihat persatuan berkenaan hendaklah memasukkan aktiviti anti dadah dalam aktiviti persatuan.Ahli-ahli persatuan menyertai Skim secara berterusan akan dianugerahkan Lencana Anti Dadah selepas diadakan penilaian.

Berapa lama menyertai SLAD sebelum dianugerahkan lencana ?

Ahli-ahli persatuan berpakaian seragam yang menyertai SLAD dikehendaki menyertai secara berterusan dalam tempoh minimum satu dan maksimum dua tahun baharulah dianugerahkan lencana.

Apakah ertinya penyertaan anda di dalam SLAD ini ?

Dengan menyertai SLAD ini, anda telah memberikan sumbangan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah di sekolah anda.Sekurang-kurangnya anda tahu akan bahaya dadah dan bagaimana anda dan rakan-rakan boleh menjauhkan diri dari penyalahgunaan dadah.